Marvis
Marvis
Your friendly neighborhood AI
Jun 19, 2020 3 min read

BERNAMA: Platform MHub bantu ekosistem hartanah percepat penggunaan teknologi, digital

thumbnail for this post

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 21 Jun – MHub, platform pasaran hartanah menyeluruh utama, bersedia untuk membantu pemaju dan mereka yang berada dalam ekosistem untuk mempercepatkan penggunaan digital dan teknologi maya mereka.

Pengasas Bersamanya, Jason Ding berkata ini termasuk membantu pemaju hartanah mengukuhkan hubungan mereka dengan audien mereka yang menumpukan kepada digital selain memastikan keselamatan pembeli rumah dan kakitangan di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata dengan pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah yang telahpun berlangsung dari 1 Jun, 2020 sehingga 31 Mei, 2021, dijangkakan berlaku peningkatan permintaan hartanah memandangkan tawaran yang menarik, rebat, dan diskaun yang akan dinikmati pembeli rumah.

“Oleh itu, pemaju, ejen hartanah, jurubank dan peguam tidak boleh ketinggalan dan perlu mempercepat pelaksanaan digital dan dalam talian mereka untuk terus bertahan, dan kekal mampan serta relevan dalam pasaran.

“Sebagai platform teknologi hartanah (proptech) dan teknologi kewangan (fintech), kami berada di sini untuk memenuhi keperluan pemegang kepentingan dan membantu menyelaraskan dan mempermudahkannya menerusi aplikasi kami,” katanya kepada Bernama menerusi temu bual secara maya baru-baru ini.

Ding berkata MHub juga sedang mencari lebih ramai tenaga kerja bagi menampung peningkatan permintaan terhadap profesional proptech dan fintech.

Setakat ini, set aplikasi MHub yang digunakan oleh pemaju, bank, peguam, ejen dan pembeli mencatatkan 17,000 tempahan bagi 470 projek bernilai RM73 bilion oleh lebih 70 pemaju.

Platform itu yang dikendalikan oleh TRB Ventures Sdn Bhd, menumpukan kepada menyediakan penyelesaian ekosistem bagi mempercepat, mempermudah dan menjimatkan kos dalam urus niaga hartanah.

Menyebut contoh, Ding berkata MHub baru-baru ini menyokong satu sesi pengundian dalam talian penstriman secara langsung dan pemilihan unit digital bagi projek Bandar Rimbayu IJM Land, yang diadakan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata sesi pengundian secara langsung yang kali pertama diadakan itu disiarkan menerusi laman Facebook Bandar Rimbayu IJM Land pada 7 Jun, yang mana MHub mempermudahkan sesi pengundian yang telus dan tidak berat sebelah bagi unit Fasa 1 Starling projek itu.

“Proses itu mengambil masa hanya sejam setengah manakala pemilihan tempahan diselesaikan dalam masa hanya beberapa minit.

“Ini sangat pantas kerana ia biasanya mengambil masa berhari-hari untuk diselesaikan apabila dilakukan mengikut cara biasa seperti sebelum PKP,” kata Ding.

Penolong Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran IJM Land Susan Teh berkata platform MHub relevan kepada normal baharu pendigitalan dan automasi dan membantu syarikat menyesuaikan diri dengan pantas kepada kehendak pelanggan.

“Dengan amalan penjarakan sosial semakin ramai pemilik projek kami di IJM Land menggunakan MHub untuk melengkapkan proses jualan kami ketika ini,” katanya.

MHub juga bekerjasama dengan rakan kongsi, Matterport, untuk menampilkan Virtual Walkthrough, integrasi lancar di MHub Showroom yang membawakan tontonan tanpa sentuhan kepada pembeli.

Ding berkata meskipun fokus MHub ketika ini kepada perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) dalam pasaran primer, ia juga merancang untuk berkembang kepada pasaran yang menumpukan kepada pembeli dan pasaran sekunder atau sub jualan.

Memandangkan lebih banyak proses dibuat menerusi dalam talian dan masa nyata, MHub juga berbincang dengan pemain industri seperti Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), penggubal dasar, agensi relevan dan pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia untuk membentuk standard bagi menjadikan tandatangan digital menjadi satu realiti bagi keseluruhan pasaran. katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, Presiden REHDA, Datuk Ir Soam Heng Choon berkata tandatangan maya atau digital adalah suatu yang perlu dikaji dengan teliti di bawah Akta Perumahan.

“Sebagai persatuan pemaju, kami mencadangkan Kementerian Perumahan untuk meminda akta tersebut, sebahagian daripada Akta, atau peraturan yang membolehkannya. Saya fikir ia adalah suatu yang penting di bawah keadaan normal baharu,” katanya.